TAKLIMAT LARANGAN KESALAHAN MEROKOK DAN PENGGUNAAN ROKOK ELEKTRONIK (e-cig) SERTA VAPE DI DALAM KAWASAN KAMPUS USIM

NILAI, 4 Februari 2016 – Dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor yang diadakan pada 20 November 2015, kesemua Naib Canselor/Rektor dua puluh (20) Universiti Awam Malaysia telah bersetuju untuk mengharamkan penggunaaan rokok elektronik (e-cig) dan vape di kampus Universiti masing-masing.
Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia telah mengeluarkan arahan bertarikh 1 Januari 2016 berkaitan larangan pengunaan rokok eletronik (e-cig) dan vape di kalangan warga kampus.
Selaras dengan arahan tersebut, satu taklimat berhubung larangan kesalahan merokok dan penggunaan rokok elektronik serta vape di dalam kawasan kampus telah diadakan dengan kerjasama Jabatan Undang-Undang bagi memberi penerangan kepada pegawai yang telah dilantik oleh Naib Canselor sebagai Pegawai Penguatkuasa. Taklimat yang diadakan pada 4 Februari 2016 bertempat di Bilik Seminar, Jabatan Keselamatan ini telah disampaikan oleh Pengarah Keselamatan, Kapten (B) Abdul Wahab Mat Zin dan dihadiri seramai 41 orang Pegawai Penguatkuasa. Pegawai Penguatkuasa ini terdiri daripada Ketua-Ketua Pusat Tanggungjawab, Dekan Fakulti, Pengetua dan Felo Penghuni Kolej Kediaman serta semua Pengawal Keselamatan. Pegawai penguatkuasa turut dibekalkan dengan notis pemberitahuan kesalahan bagi dikeluarkan kepada pesalah serta garis panduan untuk rujukan.
Lanjutan daripada kuatkuasa ini juga, pelajar atau kakitangan USIM yang didapati melanggar larangan menggunakan vape dan rokok di dalam kawasan kampus boleh dikenakan denda RM100.00 bagi kesalahan kali pertama, RM200.00 bagi kesalahan kali kedua dan tindakan tatatertib sekiranya masih ingkar arahan. Sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan dalam tempoh 14 hari, nilai denda akan dimasukkan ke dalam sistem maklumat akaun pelajar sebagai penghutang. Manakala bagi kakitangan pula, tindakan pemotongan gaji akan dilaksanakan.
                                                                       

 Jabatan Keselamatan
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 8068/8074, Faks: +606-798 6065