BENGKEL PENGURUSAN RISIKO KESELAMATAN UNIVERSITI AWAM (UA)

CAMERON HIGHLAND, 6 Mei 2016 – Jabatan Keselamatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Unit Pengurusan Risiko, Jabatan Pendaftar USIM telah berjaya menganjurkan Bengkel Pengurusan Risiko Universiti Awam pada 4 hingga 6 Mei 2016 bertempat di Hotel Copthorne Cameron Highlands, Pahang. Bengkel ini telah disertai oleh 10 buah Universiti iaitu Universiti Tun Husseion Onn Malaysia (UTHM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Bengkel Pengurusan Risiko UA ini diadakan susulan daripada input dan impak yang diterima oleh Jabatan Keselamatan USIM yang telah menjalankan Bengkel Pengurusan Risiko ini pada bulan November dan Disember 2015 yang lalu. Melihat kepada kepentingan pengurusan risiko ini di setiap jabatan terutama di Jabatan Keselamatan yang perlu meningkatkan keselamatan dan menjaga keharmonian serta ketenteraman kampus, maka hasrat ini diteruskan dengan penganjuran bengkel melibatkan seluruh UA agar pengetahuan berkenaan pengurusan risiko ini dapat dikongsi bersama. Objektif bengkel ini juga direkabentuk khusus untuk mengurus risiko keselamatan di UA bagi mengekalkan keharmonian kampus dan kecemerlangan universiti. Turut hadir ialah Profesor Madya Hj. Mohd. Shoki Md. Ariff dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor selaku penceramah.
Mengambil peluang ini, turut diadakan Perjumpaan Pengarah-Pengarah Keselamatan Universiti Awam sebelum majlis Perasmian Penutup diadakan pada hari terakhir bengkel. Perasmian Penutup dirasmikan oleh Pendaftar USIM, Y.Bhg. Encik Muhammad Haizuan Rozali.

 Jabatan Keselamatan
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 8068/8074, Faks: +606-798 6065