KEMPEN KESEDARAN KESELAMATAN LALULINTAS (CBP) DAN PERTUKARAN TOPI KELEDAR DARIPADA SIRIM QAS INTERNATIONAL SDN BHD KEPADA PELAJAR USIM 2014

 

NILAI, 29 Ogos 2014 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini melancarkan  Majlis Kempen Kesedaran Keselamatan Lalulintas (CBP) dan Pertukaran Topi Keledar daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd kepada Pelajar USIM 2014 dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).
Pelancaran program ini disempurnakan oleh Y. Bhg.Dato' Dr. Tam Weng Wah, Ketua Pengarah,  Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia dan dihadiri oleh Y. Bhg. Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), USIM dan Y. Brs. Puan Khalidah Mustafa, Pengarah Urusan, SIRIM QAS International Sdn. Bhd.

“USIM merupakan salah satu daripada empat buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terpilih untuk menyertai program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada semua pelajar dan staf dalam mempertingkatkan aspek keselamatan di jalan raya. Untuk makluman bahawa 3 lagi IPTA yang dipilih akan melaksanakan program seumpama ini adalah Universiti Utara Malaysia pada 23 September 2014, Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor pada 23 September 2014 dan Universiti Teknologi Petronas Malaysia di Perak pada 3 Oktober  2014,” kata
Dato' Dr. Tam Weng Wah. 

“Menerusi program ini, sebanyak 200 buah topi keledar dan Baju Pantul Cahaya akan diagihkan kepada pelajar USIM yang terpilih. Keutamaan adalah kepada pelajar yang mempunyai topi keledar yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh SIRIM. Kita akan gantikan topi keledar tersebut dengan topi keledar yang menetapi piawaian SIRIM,” tambah beliau yang berharap agar dengan adanya program seumpama ini dapat mendidik pelajar USIM mengenai kepentingan pengunaan topi keledar yang selamat.

Pihak JKJR  dan SIRIM yang dibantu oleh pegawai-pegawai USIM akan mengedarkan topi keledar dan pelekat kenderaan di perkarangan tempat letak kereta Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM pada jam 3.00 petang hari yang sama.

”Kempen Kesedaran Keselamatan Lalulintas (CBP) dan Pertukaran Topi Keledar daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. kepada Pelajar USIM 2014merupakan program yang berteraskan aspirasi kerajaan untuk memberikan maklumat berkenaan kempen keselamatan jalan raya dari segi penggunaan topi keledar yang tepat, di samping menukar topi keledar yang didapati tidak menepati piawaian oleh SIRIM”, kataProfesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah.

Bersempena dengan program ini juga, JKJR Negeri Sembilan  mengadakan sesi penerangan ringkas dan ceramah khas kepada pelajar dan staf USIM tentang kepentingan memahami keperluan keselamatan di jalan raya.
Program ini merupakan kali pertama yang telah diadakan di USIM. Pendekatan proaktif JKJR ini juga diharap menjadi budaya dalam kalangan pelajar USIM untuk memikirkan aspek keselamatan terlebih dahulu sebelum memandu kenderaan atau menunggang motosikal.

 Jabatan Keselamatan
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 8068/8074, Faks: +606-798 6065