Kempen Keselamatan Jalan Raya / Lebuhraya dan Program Perjalanan Selamat “Long Short Walk” Peringkat Neg Sembilan Tahun 2014

NILAI, 17 Disember 2014 - Kempen Keselamatan Jalan Raya / Lebuhraya dan Program Perjalanan Selamat “Long Short Walk” Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2014 yang dianjurkan secara bersama oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Sembilan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), PLUS dan Hino Motors Manufacturing (M) Sdn Bhd bertempat di Dewan Kuliah Fakulti 1.1, Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) berjaya mencapai matlamatnya untuk menyampaikan mesej keselamatan jalan raya kepada golongan sasaran terutamanya kakitangan USIM dan pelajar.

Program seumpama ini merupakan kerjasama kali pertama dianjurkan bersama dengan pihak PLUS manakala program perjalanan selamat / program “Long Short Walk” merupakan kali kedua susulan daripada Program Kesedaran Keselamatan Lalulintas (CBP) dan Pertukaran Topi Kaledar Sumbangan SIRIM QAS International yang telah diadakan di USIM pada 29 Ogos yang lalu.

Melalui penganjuran kempen ini, aktiviti mempromosikan kempen-kempen keselamatan seperti slot ceramah, mengadakan advokasi bertindak sebagai medium untuk menyalurkan mesej keselamatan jalan raya kepada pelajar dalam usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada pelajar dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Ceramah yang dijemput khas daripada pihak MIROS disusuli dengan program perjalanan selamat / long short walk yang mana aktiviti ini merupakan aktiviti tahunan bagi JKJR. Keunikannya adalah pelajar akan berjalan bersama-sama diiringi pihak berkuasa seperti pihak polis dan JPJ dengan membawa mesej-mesej keselamatan jalan raya atau sepanduk menunjukkan kempen positif untuk menyedarkan masyarakat secara amnya,” ujar Pengarah JKJR Negeri Sembilan, Yang Berusaha Puan Zaitun Iffah Hamid.

"Kita juga mempunyai misi untuk dijayakan iaitu Sifar Kematian. Sekurang-kurangnya tidak berlaku kematian akibat kemalangan jalan raya walaupun kita tidak dapat mengelakkan," ucap YB Dato’ Haji Ismail bin Lasim, EXCO Perpaduan dan Integrasi Nasional merangkap Pengerusi MKJR Negeri Sembilan.
“Kempen yang bermanfaat diharap dapat terus diadakan dari semasa ke semasa sehingga pengguna jalan raya terdidik untuk menjaga keselamatan diri, keluarga dan keselamatan sejagat,” tambahnya.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengarah Keselamatan, Jabatan Keselamatan USIM, Yang Berusaha Kapten (B) Abdul Wahab Mat Zin, wakil dari pihak PLUS Negeri Sembilan, Encik Zulkifli Abdul Rahim, wakil dari HINO Motors Manufacturing (M) Sdn Bhd, Encik Nik Saifudin bin Raja Talib.
                                                                       

 Jabatan Keselamatan
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 8068/8074, Faks: +606-798 6065