SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI, NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS TAHUN 1436H / 2015M

 

Seremban, 3 Januari 2015 – Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus telah mengadakan Perarakan Sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban.
Sebanyak 9,000 orang yang terdiri daripada sektor kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah menyertai perarakan pada pagi tersebut. Kontinjen USIM diwakili oleh staf dari Jabatan Keselamatan, Jabatan Pendaftar, Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.
Perarakan sejauh 6 kilometer ini disertai oleh 91 kontinjen termasuk USIM bersatu padu dalam memeriahkan perarakan dengan membawa sepanduk masing – masing di samping berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Majlis sambutan ini diadakan sempena memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW bersamaan 12 Rabiulawal dengan tema “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”. Majlis diserikan dengan majlis selawat, nasyid dan qasidah oleh Kumpulan Simfoni feat Brothers.
Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat mencemar duli untuk memeriahkan sambutan kali ini. Turut hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
                                                                   

 Jabatan Keselamatan
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 8068/8074, Faks: +606-798 6065