Tahun 2002

Unit Keselamatan mula ditubuhkan dan digabungkan dengan Unit Kenderaan yang dikenali sebagai Unit Keselamatan dan Kenderaan. Permulaan perjawatan di Unit Keselamatan hanya melibatkan seorang Penolong Pegawai Keselamatan dan juga 2 orang Pengawal Keselamatan yang dilantik bagi menjalankan penguatkuasaan dan kawalan keselamatan Kampus KUIM yang ketika itu terletak di Menara A, Persiaran MPAJ, Pandan Indah. Pada awal penubuhan ini, pengurusan pentadbiran diuruskan oleh seorang Penolong Pendaftar meliputi skop pentadbiran keselamatan dan juga kenderaan manakala unit operasi keselamatan diuruskan oleh Penolong Pegawai Keselamatan pada ketika itu.

Tahun 2005

Pada bulan Mei 2005 , KUIM telah memulakan perpindahan dari Bangunan Menara A, Persiaran MPAJ ke kampus tetap di Nilai. Menyedari kepentingan bagi memfokuskan satu-satu unit mengikut portfolio, maka pada tahun itu juga, Unit Keselamatan diberi kepercayaan bagi menguruskan perjalanan pentadbiran dan operasinya sendiri. Justeru itu, Unit Keselamatan dan Unit Kenderaan telah dipisahkan pada tahun ini agar skop pentadbiran dan operasi dapat dijalankan dengan lebih terfokus. Pada ketika ini, Unit Keselamatan dan Kenderaan telah ditukarkan kepada Unit Pengurusan dan Keselamatan di bawah Jabatan Pendaftar dan pengurusan pentadbiran masih diuruskan oleh seorang Penolong Pendaftar manakala operasi keselamatan diuruskan oleh seorang Pegawai Keselamatan.

Tahun 2008

Unit Pengurusan dan Keselamatan telah melalui 2 fasa penting di awal penubuhan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) pada tahun 2000 serta dinaiktaraf menjadi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 1 Februari 2007. Perkembangan ini turut memberi impak positif kepada Unit Pengurusan dan Keselamatan apabila dinaiktaraf menjadi sebuah bahagian dan dikenali sebagai Bahagian Keselamatan. Ini memberi peluang kepada Bahagian Keselamatan dalam menjalankan pentadbiran dan operasinya sendiri di mana Pegawai Keselamatan yang menyelaraskan kedua-dua unit ini. Dengan penstukturan semula ini juga, Bahagian Keselamatan juga telah berpindah pejabat dari Unit Pembangunan (sekarang ialah pejabat Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah)(PPKI) mengambil alih pejabat Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang ketika itu telah berpindah pejabat ke bangunan baharu.

Tahun 2014

Organisasi Bahagian Keselamatan semakin berkembang pesat dengan jumlah staf yang ramai bagi mengawal keselamatan Kampus Tetap Nilai dan juga Kampus Cawangan di Pandan Indah. Saban tahun juga, Bahagian Keselamatan mendepani pelbagai cabaran dalam menjamin keamanan dan keselamatan kampus. Sekali lagi, Bahagian Keselamatan diberi kepercayaan oleh Naib Canselor, YBhg Profesor Datuk Dr Asma Ismail bagi penubuhan Jabatan Keselamatan. Oleh itu, berkuatkuasa pada 24 Mac 2014, Lembaga Pengarah Universiti serta Pengurusan Universiti telah bersetuju dengan penubuhan sebuah Pusat Tanggungjawab (PTJ) baharu iaitu Jabatan Keselamatan.